Haluan kita : Tahukah kita ertinya?

Malam Salam Restu '09
Assalamualaikum wbt,

Setelah sekian lama menyepikan diri, diri ini menyepi dari dunia blog, hati ini tertarik untuk mengaktifkan diri semula. Mungkin disebabkan terdetik di hati, saat semua sahabat-sahabat sudah membawa haluan masing-masing, mungkin sukar untuk berkongsi pengalaman. Apa pun, diri ini memulakan dengan lafaz yang mulia, 


Bismillah.


Sedar tidak sedar, majoriti lepasan SPM '09 telah pun mendaftarkan diri masing-masing, sama ada di Matrikulasi, Pusat Asasi Universiti ataupun Program Persediaan ke luar negara. Namun, ada yang mengeluh itu dan ini, merasakan apa yang didapati bukan seperti yang diinginkan, bukan yang terbaik seperti sahabat-sahabat yang lain. Apapun, cuba renungkan coretan diri penulis di bawah ini.


Situasi 1 : [Keputusan SPM diumumkan]


Diri ini tidak pun terlalu mengharapkan keputusan yang sedang dikecapi sekarang, sekadar lepas syarat-syarat untuk mengisi borang JPA/MARA pun sudah cukup. Namun, di saat diri ini tidak mengharapkan yang tertinggi, ALLAH yang Maha Menentukan telah menyurat yang sedemikian. Risau dan takut datang tatkala menerima keputusan tersebut, tidak layak rasanya jika dibandingkan dengan usaha sahabat-sahabat yang lain, Namun, Dia Maha Mengetahui. Semoga ini yang terbaik untuk diri ini.




Situasi 2 : [Selepas MAK KISAS '10]


Penerima Anugerah MAK


Setelah keletihan memperbetulkan kesilapan yang telah dilakukan, sehingga mnyebabkan hari yang sepatutnya diri ini bergembira menjadi kurang gembira (gembira juga kerana masalah hampir selesai), diri ini diajak untuk berjalan-jalan bersama rakan-rakan untuk menceriakan suasana kembali. Ditakdirkan ALLAH, ketika sedang menunggu KTM di KL Sentral, ibu penulis menghubungi penulis memaklumkan Petronas telah menawarkan Pinjaman untuk ke luar negara. Gembira bercampur geli hati menyelubungi diri ini, kerana memang diri ini telah yakin ketika pulang dari EduQuest Camp di UTP April lalu, bahawa memang sukar untuk berjaya mendapat tajaan Petronas. Namun suratan ALLAH telah tertulis, dan sekali lagi diri ini menerima suratan takdir-Nya yang tidak pun diri ini mengharap.


Situasi 3 : [Keputusan PILN 2010 tajaan JPA]


Kali ini, diri ini amat berharap untuk mendapat tawaran ke US, membuat persediaan di INTEC , Shah Alam. Mungkin atas beberapa faktor yang tidak perlu disebutkan di sini. Namun, setelah sabar menunggu dari pukul 3 petang, kerana JPA menyatakan keputusan ditunda ke pukul 6 petang, akhirnya dengan rasa risau yang bercampur-baur, diri ini mnyemak keputusan secara online. Alhamdulillah, mendapat tajaan, tapi tidak seperti yang diinginkan. Negara United Kingdom, dan tempat persediaan di Cempaka International School, Cheras, Selangor. 


Ketentuan-Nya, bukan urusan hamba


Dalam kita sibuk mengharapkan yang terbaik pada pandangan kita, kita terlupa untuk menilai, bersediakah diri kita menghadapi keputusan-Nya kelak tatkala ia disingkap. Kita sibuk mengharap dan berusaha, tapi sebagai hamba-Nya yang lemah, bukan urusan kita menentukan apa yang bakal kita terima. Kita hanya ditugaskan untuk berusaha dan mengharap, dan selebihnya perlulah kita kembalikan segalanya kepada ALLAH yang Maha Mengetahui. Kita selalu inginkan yang kita MAHU, tapi Dia yang Maha Pengasih memberikan apa yang kita PERLU
Pelajar MEP Kisas di Intec


Tahukah kita apa yang terbaik untuk diri kita? Adakah kita pasti, jika kita dapat apa yang kita inginkan, ia menjamin masa depan kita, baik di dunia mahupun di negeri akhirat yang kekal abadi. Kadangkala kita merasakan apa yang diinginkan yang terbaik, tp ALLAH menyuratkan yang lain yang terbaik untuk kita. Terimalah dengan rasa redha dan rendah diri, mengharap apa yang diputuskan-Nya merupakan tang terbaik untuk diri, agama dan masa depan. InsyaALLAH, andai kita menerimanya dengan penuh rasa syukur, ALLAH akan menambah kebaikan dan keberkatan di dalamnya. Yakinlah.


Kambing yang bersendirian


Tatkala diri ini berharap untuk bersama rakan-rakan yang lain di Intec, ALLAH menentukan diri ini membuat persediaan di sebuah sekolah bertaraf antarabangsa, bersendirian. Dengan suasana di sana yang diakui seorang bekas pelajar Kolej Islam sebagai memang culture shocking, dan berada di sana bersendirian, penulis cuma berharap, agar ALLAH menunjukkan hikmah yang besar di sebalik takdir-Nya yang Maha Adil. Sungguh Dia Maha Mengetahui.


Dengan keadaan diri yang begitu lemah, hampir risau dan tidak bersemangat rasanya untuk menyambung pelajaran di situ. Jika difikarkan kembali kembali tawaran Petronas, dilihat hampir serupa dengan tempat yang ditetapkan JPA. Apa pun, diri ini berharap agar sahabat-sahabat penulis dapat mendoakan moga kita semua sentiasa istiqamah di jalan-Nya. Moga diri ini ditemukan dengan jalan yang membawa kepada-Nya, jalan yang menenangkan jiwa. Amiin.


Cempaka International School

Kesimpulan

Walau apapun yang ditakdirkan untuk kita, terimalah dengan penuh rasa syukur dan redha, serta bersedia untuk menjalani kehidupan yang baru. Penulis sendiri tidak menyangka mendapat apa yang tidak terbayang dalam fikiran selama ini, dan juga ALLAH telah mentakdirkan penulis untuk tidak mendapat apa yang penulis inginkan.Oleh itu, dalam apa pun doa dan harapan kita, mohonlah agar ALLAH berikan apa yang terbaik untuk kita, biarpun ianya bukan apa yang kita ingin-inginkan. Kita inginkan kehebatan dan kemegahan, bukan semua kemegahan membawa ktenangan jiwa. Kita inginkan low-profile, bukan semua low-profile menenangkan jiwa kerana kadang-kala mewujudkan hasad dan dendam. Maka apakah yang sebenarnya terbaik untuk kita? Pohonlah ALLAH yang Maha Mengetahui memberikannya kepada kita.

Wallahu'alam.

7 comments

Make A Comment
top